Thursday, 2 July 2015

SEJARAH PENUBUHAN TAGAL BABAGON

Pemandangan Sungai Babagon

ASAL-USUL NAMA KAMPUNG BABAGON

Mengikut cerita orang asal Kampung Babagon, nama Babagon wujud dari individu yang mempunyai banyak ketuat (Babag dalam Bahasa Dusun) di badan, dimana tinggal di kawasan sungai pada ketika itu.  Pada ketika itu, kampung ini memang menjadi tempat persinggahan orang-orang dari sebelah pendalaman atas untuk berdagang di tamu-tamu di sekitar Penampang. Orang-orang yang singgah di kampung ini akan mengambil kesempatan menjala ikan di sungai yang mereka tidak ketahui namanya sehinggalah sampai ke rumah Si Berketuat ataupun “Si Babagon” dalam Bahasa Dusun. Apabila kawan-kawan mereka bertanya sampai mana mereka menjala maka Si Penjala akan berkata dia sampai di rumah Si Berketuat  (Si Babagon) sehinggalah nama sungai tersebut digelar  Sungai Babagon  dan nama tersebut telah digunakan sebagai nama Kampung Babagon sehingga ke hari ini.



BABAGON PADA HARI INI


Kampung Babagon terletak di Km 22 Jalan Penampang - Tambunan. Ia gabungan tiga buah kampung iaitu Kampung Babagon,    Timpoluon dan Timpango. Bentuk mukabumi Kampung Babagon adalah berbukit-bukau serta mempunyai dua batang sungai iaitu Sungai Babagon dan sungai Moyog dimana telah bersatu di Kuala Sungai Moyog dan Babagon dan mengalir terus ke Kuala Laut di Putatan.




SISTEM TAGAL BABAGON


TAGAL


TAGAL adalah perkataan dalam bahasa ibunda Dusun yang membawa  pengertian iaitu ‘JANGAN' dan yang paling sesuai adalah 'DITEGAH' dengan sumpah. Kaedah Tagal ini dipraktikan oleh nenek moyang Kaum Dusun untuk melarang agar tidak mengambil milik mereka seperti buah-buahan dan sebagainya dengan cara menanda dengan memacakkan sebatang kayu yang hujungnya ditajamkan dan menghala ke kawasan larangan tersebut.
Kaedah ini telah dipraktikkan turun temurun sebagai tanda larangan dan tanda tersebut sangat dihormati oleh kaum KadazanDusun. Sistem Tagal telah disesuaikan oleh masyarakat Dusun sebagai penguatkuasaan penjagaan hidupan sungai kerana maksud perkataan TAGAL sangat mudah difahami oleh masyarakat KadazanDusun dan telah terbukti hanya penguatkuasaan Sistem Tagal sahaja yang dapat memulihkan kembali populasi ikan yang semakin berkurangan di Sungai Babagon.



KENAPA DIWUJUDKAN SISTEM TAGAL

         Pada sekitar tahun 50an hingga 70an, terdapat banyak ikan di sungai-sungai sekitar Kampung Babagon Namun pada tahun 80an, keadaan mula berubah apabila orang luar mula menceroboh sungai-sungai ini. Pencerobohan ini telah membawa kepada kemerosotan dan pengurangan jumlah ikan akibat aktiviti penangkapan ikan yang tidak terkawal serta kaedah penangkapan yang tidak sesuai. Mereka menggunakan bom ikan, tuba, renjatan elektrik dan lain-lain lagi yang mana menyebabkan kepupusan hidupan akuatik sehingga sukar dikawal oleh penduduk sendiri.

      Ekoran daripada itu, Mantan Pengerusi JKKK Babagon Encik Gidius Gonsuin dan Penguasa Perikanan Daerah mencetuskan idea pelaksanaan Sistem Tagal Babagon yang bertujuan menjaga segala hidupan sungai dengan persetujuan semua penduduk kampung.


Objektif lain sistem tagal dilaksanakan termasuklah;

  • untuk memastikan aliran sungai yang ditagal mengalir dengan lancar tanpa gangguan
  • memastikan sungai yang ditagal bebas dari gangguan penduduk setempat atau luar
  • memperbanyakkan jumlah ikan dan mengelakkannya ditangkap sebelum cukup besar
  • menjaga keselamatan sungai dari sebarang pencemaran dan racun
  • menjadikan sungai sebagai kawasan rekreasi yang menarik dan bersih serta menguntungkan
  • bekerjasama dengan Jabatan Perikanan, Agensi Kerajaan dan NGO dalam usaha memulihara Sungai Moyog-Petagas daripada tercemar.
  • merancang satu pelan tindakan di mana sungai-sungai yang ditagal dijadikan produk eko-pelancongan yang membawa manfaat ekonomi kepada penduduk setempat




KONSEP TAGAL

          Satu sistem penjagaan hidupan sungai yang:-

  1. Melibatkan secara langsung masyarakat setempat.
  2. Mendapat sokongan daripada masyarakat setempat untuk pelaksanaan.
  3. Penguatkuasaan yang diiktiraf oleh kuasa tempatan mahkamah daerah, ketua kampung dan badan JKKK.
  4. Bimbingan terus daripada Jabatan Perikanan/Agency lain/NGO.
  5. Dalam konsep tagal, penuaian ikan akan dibuat secara berkala iaitu sekali dalam setahun atau mengikut perbincangan di kalangan penduduk kampung.
  • Kini terdapat sebanyak empat Jawatankuasa Tagal yang bernaung di bawah JKKK Kampung Babagon (Sistem Tagal Babagon). Ini termasuklah Babagon Bawah, Babagon Atas, Timpango Dan Tagal Timpoluon.

Masyarakat setempat bersama hasil tangkapan.



MERCU TANDA TAGAL BABAGON





LOGO TAGAL BABAGON



Maksud Logo


Lingkaran Merah, Kuning dan Hijau melambangkan penzonan kawasan sungai yang ditagal iaitu Zon Merah, Zon Kuning dan Zon Hijau.

Lakaran Ikan melambangkan penjagaan segala hidupan sungai terutama Ikan Pelian.

Ranting dan daun melambangankan komuniti bersatupadu menjaga sungai dan segala tumbuhan semulajadi di sekitar sungai yang ditagal supaya segala hidupan sungai mendapat makanan semulajadi.



LOKASI SUNGAI YANG DITAGAL



KEJAYAAN SISTEM TAGAL BABAGON


PERUNDANGAN SISTEM TAGAL

Mesyuarat Penggubalan Perundangan Sistem Tagal

Sistem Tagal telah dikuatkuasakan dan dilancarkan pada 19hb November 2000.
  • Kaedah pelaksanaan Sistem Tagal ialah penguatkuasaan pengawalan penangkapan ikan dimana tidak boleh sama sekali menangkap sebarang hidupan air di kawasan sungai yang ditagal selama 1 atau 2 tahun mengikut persetujuan AJK Tagal.
  • Sekiranya ada komuniti yang melanggar undang-undang ini, pesalah akan dibawa kepada ketua kampung dan akan dikenakan hukuman sogit (Berdasarkan undang-undang yang telah ditetapkan semasa penubuhan).


Komuniti yang melanggar undang-undang yang telah ditetapkan akan di sogit.
Hanya pukat dan jala sahaja peralatan yang dibenarkan - untuk memastikan hidupan air tidak pupus

Pemantauan di sungai akan dijalankan dari semasa ke semasa - Jabatan Perikanan selaku jabatan pembimbing.


LARANGAN TAGAL BABAGON

  • Semua penduduk setempat dilarang atau ditegah sama sekali daripada menangkap ikan di kawasan-kawasan sungai yang ditagal dalam tempoh yang ditetapkan.
  • Semasa penuaian ikan hanya pukat dan jala boleh digunakan. Penggunaan tuba, bom ikan, renjatan elektrik dan yang memudaratkan serta memusnahkan hidupan akuatik dilarang sama sekali.



TEMPOH LARANGAN & PENUAIAN IKAN

  • Larangan telah ditetapkan setiap dua tahun.
  • Walau bagaimanapun tempoh larangan boleh dikaji semula oleh jawatankuasa tagal dari masa ke masa.
  • Penuaian hanya dibenarkan di Zon Kuning dan Zon Hijau sahaja. Walau bagaimanapun, belut (sinsilog) dibenarkan untuk dituai di Zon Merah dengan persetujuan dalam mesyuarat.
  • Zon Merah dikhaskan untuk aktiviti eko-pelancongan.




DENDA

  • Wang tunai RM300.00
  • Seekor khinzir RM200.00 (100 kati)
  • Boleh dihadapkan ke Mahkamah Anak Negeri jika perlu
  • Jika penceroboh menggunakan racun kimin atau bom ikan, penceroboh berkenaan akan dibawa ke balai polis.




PENANDATANGAN PERAKUAN PENGUATKUASAAN TAGAL BABAGON

  • ADUN N20 Moyog
  • Ketua Daerah Penampang
  • Ketua Polis Daerah Penampang
  • Penguasa Perikanan Daerah
  • PKR N20 Moyog
  • Ketua Kampung Babagon
  • Pengerusi Penagalan
  • Pengerusi JKKK Kampung Babagon






KEMUDAHAN & AKTIVITI PENDUDUK SEKITAR TAGAL BABAGON

Banyak aktiviti diadakan di Tagal Babagon bagi merapatkan lagi hubungan antara komuniti.



Penanaman pokok-pokok bertujuan untuk mencantikkan persekitaran sungai
 dan memberikan sumber makanan kepada ikan.

Pesta Kaamatan bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan komuniti setempat.

Hari Keluarga bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan komuniti setempat.


Kemudahan-kemudahan asas menarik ramai pengunjung luar berkelah dan menjalankan 
aktiviti rekreasi di sungai yang di tagal.


Pelancong dalam dan luar negara turut serta melihat keindahan dan kemudahan yang disediakan.

Kerjasama pihak pengurusan tagal dan agen pelancongan telah berjaya menjadikan kawasan Tagal 
sebagai salah satu destinasi pelancongan di Sabah.


Antara Kemudahan Yang Terdapat Di Tagal Babagon


Trek untuk berjoging, mandi manda dan tempat bersantai

Sewaan ruang untuk majlis keraian, mesyuarat dan makanan

Tempat mandi awam dan tempat bersantai

Tandas awam sumbangan badan NGO


IMPAK SISTEM TAGAL KEPADA EKONOMI PENDUDUK DI SEKITAR

1. Aktiviti Memancing


Pelaksanaan Sistem Tagal Babagon ini sedikit sebanyak telah membawa impak positif kepada bukan sahaja persekitaran kampung malah peluang perniagaan kepada masyarakat setempat. Semenjak Sistem Tagal berkuatkuasa, ikan-ikan di sungai semakin bertambah bilangannya. Dan ini telah membuka ruang kepada aktiviti memancing terutamanya ikan kelah. Para pemancing tegar kini boleh mengunjungi Kampung Babagon untuk tujuan ini. Kadar bayaran yang dikenakan juga adalah berpatutan. Aktiviti memancing merupakan penyumbang utama kepada pendapatan Tagal Babagon.




Sebahagian gambar pemancing-pemancing di Tagal Babagon


Aktiviti Memancing Tangkap Dan Lepas
  • Yuran RM50/ seorang (sepanjang hari) & Guide - RM25
  • Yuran RM10/ sejam & Guide - RM5
  • Guide mendapat latihan asas di Jabatan Stesyen Perikanan kendalian Jabatan Perikanan 
  • Person In-charge : Encik Paulus John (014-5693476)


2. Penginapan Desa


Kehadiran pengunjung ke Tagal Babagon juga telah membuka peluang kepada komuniti setempat untuk mengusahakan Penginapan Desa. Ini kerana sesetengah pengunjung ingin mengalami suasana desa selain memancing sepanjang hari.




Antara perusahaan penginapan desa yang diusahakan oleh penduduk kampung

Penginapan Desa Toninipot
  • Ditubuhkan pada tahun 2000 bagi memenuhi keperluan pengunjung tagal
  • Merupakan perusahaan secara berkumpulan seramai 35 orang ahli dengan diketuai oleh Encik Gonsuin Moduai.
  • Perusahaan lain adalah penanaman kebun organik, ternakan ikan talapia dan juga ayam kampung. Diusahakan atas tanah seluas satu ekar milik pengusaha.
  • Premis penginapan desa dilengkapi dengan sembilan buah katil, dapur dan tandas.
  • Kos sewaan katil adalah RM15/ malam/ pengunjung dan RM3/ malam/ pelajar



3. Perusahaan Makanan


Kehadiran pengunjung ke Tagal Babagon juga telah membuka ruang kepada penduduk kampung untuk mengusahakan gerai makan. Terdapat lebih kurang lima lot gerai makan di sini. Terdapat juga beberapa kedai runcit di kawasan berhampiran.



Gerai makan yang terdapat di Tagal Babagon

Gerai ini merupakan hadiah sempena pertandingan Anugerah Kampung Sejahtera Peringkat Negeri 2010.



4. Pusat Kraftangan Babagon (Babagon Handicraft Centre/ BHC)


Pusat Kraftangan Babagon turut menerima impak positif daripada pelaksanaan Sistem Tagal Babagon ini. Di mana ianya turut menjadi tempat tumpuan pengunjung yang datang ke Tagal Babagon. Lokasi BHC yang strategik iaitu di persimpangan jalan besar dan simpang masuk ke Tagal Babagon menyebabkan BHC mudah untuk dikunjungi.
Kebanyakan pengusaha di sini terdiri daripada golongan warga emas dan kehadiran belia beliawanis untuk mempelajari selok belok pembuatan kraftangan amat dialu-alukan. Telah dimaklumi juga yang pusat ini telah mengadakan beberapa siri latihan bersama pelajar-pelajar daripada institusi tempatan negeri. Yang lebih menarik lagi adalah permainan dan alat muzik tradisional yang diperbuat dari bambu (buluh).

  • BHC mempunyai 25 orang ahli dengan diketuai oleh KK Andreas Doon Molinggun.
  • Ditubuhkan bagi memenuhi permintaan pengunjung tagal.
  • Membekalkan kraftangan seperti alat muzik tradisional, parang dan juga peralatan untuk mengangkut hasil tani.
  • BHC turut pernah menjadi pembekal hadiah cenderahati untuk majlis-majlis rasmi di kawasan Penampang.
  • Membantu pelajar Sm St. Michael dalam penghasilan produk bagi pertandingan inovasi sekolah peringkat kebangsaan yang berlangsung di Melaka dan berjaya ke peringkat akhir.





Pembuatan kraftangan di BHC

Antara produk keluaran BHC
Kursus Program Sosial Ekonomi Anjuran Yayasan Sabah
(Kursus Membuat Barait)

Membantu pelajar Sm St. Michael Penampang menghasilkan produk untuk dipertandingkan dalam Program Inovasi Usahawan Muda (PIUM) 2013 anjuran SME Bank. Rekaan mereka adalah Easy Pouring Set





PENGURUSAN & PELAKSANAAN SISTEM TAGAL BABAGON

Lokasi Sungai Yang Terlibat Dalam Sistem Tagal Babagon


Gambar menunjukkan lokasi sungai yang ditagal di bawah Sistem Tagal Babagon

Ikan-ikan dalam sungai yang telah ditagal, tidak dibenarkan untuk dituai atau ditangkap sehinggalah ke satu tempoh yang telah dipersetujui, lazimnya dalam tempoh setahun atau mengikuti kata sepakat dalam mesyuarat.



Penzonan Kawasan Sungai Yang Ditagal


Gambar menunjukkan penzonan kawasan sungai

Setiap kawasan sungai pula dibahagikan mengikut zon merah, hijau dan kuning yang mana akan menjadi garis panduan kepada penduduk setempat tentang had-had pelaksanaan sesuatu aktiviti.



Pemantauan Sistem Tagal Ke Arah Kelestarian

Untuk memastikan kesinambungan Sistem Tagal ke generasi seterusnya, beberapa komitmen telah diunjurkan. Antaranya ialah;
  • Jadual pembersihan sungai secara berkala
  • Menanam pokok yang boleh menjadi sumber makanan ikan selain untuk mencantikkan persekitaran sungai.
  • Pemantauan ke sungai-sungai yang terlibat bagi memastikan ianya sentiasa dalam keadaan yang terjaga.
  • Mengadakan mesyuarat untuk tujuan penggubalan peraturan tagal di mana ada keperluan.
  • Sessi dialog dengan penduduk setempat bagi mendapatkan persetujuan tentang peraturan atau undang-undang tagal yang digubal.
  • Penetapan denda bagi mereka yang melanggar peraturan tagal seperti menceroboh sungai dengan tujuan menangkap ikan.